Mampukah Obama cipta sejarah?
Dalam rencana bertajuk Renewing American Leadership yang disiarkan dalam jurnal Foreign Affair Ogos tahun lalu, Senator Barack Obama mengkritik keras dasar luar Presiden George W. Bush yang sudah tidak boleh diterima lagi. Antara lain Obama menyelar dasar luar Bush menganjurkan serangan ke atas Iraq dan Afghanistan tanpa memberi peluang di meja rundingan.
“Selepas beribu-ribu nyawa hilang dan berbilion dolar dihabiskan untuk berperang, pemimpin Amerika Syarikat (AS) mesti beralih daripada perang kepada menjalinkan hubungan dengan pemimpin dunia luar. AS tidak boleh bersendirian pada abad ini dan kita mesti menjadi pemimpin contoh kepada dunia,” tulis Obama.
Ketika Bush memutuskan melancarkan perang ke atas Iraq dengan alasan Iraq menjadi “paksi kejahatan” dan ternyata tidak begitu kukuh, majoriti rakyat menolak sikap kuku besi Bush. Ternyata dasar luar Bush bukanlah mewakili aspirasi rakyat yang terus dilanda trauma selepas serangan pada 11 September 2001 ke atas New York.
Dalam kempen pilihan raya Presiden, Obama yang mencatat sejarah sebagai calon kulit hitam pertama mengemukakan dasar luar yang lebih toleran dan mengelakkan kekerasan kepada negara lain. Gagasan dasar luar Obama yang mahu dilaksanakan sekiranya menduduki kerusi Presiden telah memberikan pulangan politik yang sangat besar. Obama menipiskan prasangka kaum antara kulit hitam dan kulit putih dan menganjurkan reformasi sosial yang melepasi batas kaum.
Pemilihan Obama dari parti Demokrat yang mengenepikan Hillary Clinton untuk calon Presiden sebenarnya bertolak daripada idea dan gagasan pembangunan sosial yang lebih pragmatik berbanding Bush. Obama kini berjaya melepasi prasangka ke atas kulit hitam apabila menjadi calon yang hampir pasti menduduki kerusi Presiden AS pada pilihan raya Selasa ini.
Malah Selasa menjadi detik penting anjakan pemikiran rakyat AS yang selama ini terkepung dengan prasangka kepada kaum bukan kalangan kulit putih. Sekiranya pilihan raya ini memberi kemenangan kepada Obama, AS pasti mempunyai wajah dan suara yang berbeza dalam menangani isu-isu antarabangsa. Sebagai sebuah negara kuasa besar selepas runtuhnya Kesatuan Soviet 15 tahun lalu, AS muncul sebagai kuasa tunggal menentukan politik dunia.
Maka menang atau kalah Obama dalam pilihan raya ini memberikan kesan politik yang besar kepada dunia. Obama tetap merupakan pencapaian terbesar golongan kulit hitam. Ini sudah tercatat dalam sejarah dunia apabila buat pertama kali calon Presiden datangnya daripada kulit hitam yang sinonim sebagai hamba abdi.
Perkembangan terbaru mengenai pilihan raya Presiden memperlihatkan Obama melalui laluan cerah untuk memegang tampuk pemerintahan AS. Biar pun pencabarnya John McCain daripada parti Republikan mempunyai pengalaman politik yang hebat, Obama pada sepanjang kempen menjanjikan dasar luar dan reformasi sosial yang selama ini ditagih oleh rakyat AS.
Beberapa perbezaan dasar luar antara Obama dengan McCain memperlihatkan Obama berusaha untuk menamatkan legasi Bush yang menjadi “penjajah” abad baru terhadap negara-negara berdaulat dan merdeka. Obama misalnya mahu menilai semula penglibatan AS di Afghanistan. Tetapi McCain yang datang dari parti yang sama dengan Bush akan meneruskan dasar luar Bush menguasai Afghanistan.
Begitu juga mengenai isu Iraq, Obama sejak awal lagi menentang Bush melancarkan serangan ke atas Iraq. Tetapi McCain menyolong dasar Bush dan tidak merancang untuk menarik balik tentera AS di Iraq. Dari segi diplomatik, Obama mahu meneruskan tradisi AS yang menjalin hubungan diplomatik yang baik dengan pemimpin dunia sebagai benteng keselamatan AS. McCain akan meneruskan cara Bush untuk mengambil tindakan unilateral menggunakan kuasa ketenteraan tanpa diplomasi terlebih dulu.
Terperangkap
AS sebenarnya telah terperangkap dengan dasar Bush dan Naib Presiden, Dick Cheney yang menolak rundingan dengan pemimpin-pemimpin dunia yang mereka tidak suka. Kesannya AS menjadi sasaran buli oleh teroris dan pertumbuhan pembangunan senjata nuklear seperti di Korea Utara yang akhirnya meletakkan AS dalam kedudukan yang bahaya.
Bagaimana pun Obama akan menemui semua pemimpin-pemimpin dunia sama ada yang menjadi rakan atau musuh bagi mengadakan rundingan isu yang melibatkan kepentingan bersama. Ternyata McCain kini menggalas bala yang diwariskan oleh Bush apabila terpaksa meneruskan dasar-dasar luar Bush yang ditentang oleh rakyat AS sendiri.
Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh Obama untuk menyakinkan rakyat bahawa melihat semula dasar luar AS adalah untuk membina benteng yang lebih selamat sekali pun AS sebuah kuasa besar. Ancaman teroris akibat daripada keangkuhan Bush menjadi contoh terbaik kenapa Obama perlu mengubah pendekatan menangani pemimpin-pemimpin dunia yang menentang AS selama ini.
Pada pilihan raya Presiden Selasa ini, rakyat akan keluar mengundi untuk memilih 538 wakil pemilih (electoral college). Dalam sistem pilihan raya Presiden AS, seseorang calon Presiden mesti mendapat sekurang- kurang 270 wakil pemilih yang dipilih oleh rakyat di peringkat akar umbi untuk memenangi kerusi Presiden.
Sehingga semalam, satu undian oleh CBS-NY Times memperlihatkan pasangan Obama bersama calon Naib Presiden Joe Biden mencatatkan pencapaian 52 peratus sementara McCain dan calon Presiden daripada Republikan, Sarah Palin hanya mendapat 39 peratus.
Pada awal kemunculan Palin dengan imej yang penuh glamor serta menjadi calon naib presiden pertama kalangan wanita menggugat kemaraan Obama dan Bide. Tetapi pendedahan penyelewengan Palin membuatkan grafnya menjunam. Moral seseorang pemimpin tetap menjadi kriteria di mana-mana juga. Palin yang didakwa menyeleweng sebelum ini memberikan kesan yang ketara menyekat kemaraannya. Biar pun banyak yang terpesona dengan fesyen cermin mata Palin tetapi untuk dia memberikan sokongan kuat kepada McCain, suatu yang sukar dilaksanakan.
Sejak awal kempen lagi, Obama memperlihatkan graf yang menjulang biar pun beberapa kali McCain memainkan isu kulit hitam dan toleransi Obama terhadap isu-isu yang melibatkan negara-negara Islam. Obama yang jauh lebih muda, iaitu 47 tahun, lahir dua tahun sebelum Presiden John F. Kennedy ditembak mati berbanding McCain berusia 72 tahun. Tetapi sangat terserlah sebagai pemimpin generasi baru AS yang sangat pragmatik.
Kini pada saat-saat terakhir untuk memancing undi, kedua-dua calon bertarung sengit di negeri yang dianggap menjadi penentu kepada kejayaan masing-masing. Florida, Virginia dan Missouri digempur habis- habisan dengan manifesto oleh kedua-dua calon Presiden AS itu. Bagaimana pun kalangan penganalisis di AS melihat Obama tidak mendepani kesukaran untuk mendapat lebih 270 wakil pemilih untuk mengundi pada 15 Disember depan. Sebenarnya pengundian oleh wakil pemilih pada 15 Disember tidak begitu penting kerana keputusan siapa Presiden AS boleh dilihat daripada pilihan raya Selasa ini.
Obama dianggap golongan kulit hitam kerana ayahnya warga Kenya walaupun ibunya golongan kulit putih. Sentimen anti kulit hitam di AS sedikit sebanyak memberi rintangan awal kepada Obama. Tetapi negeri- negeri yang majoriti kulit hitam memperlihatkan sokongan kuat supaya lelaki kulit hitam ini menduduki Rumah Putih, sekaligus menguasai dunia.
Dasar perkauman dalam Republikan telah menutup peluang golongan kulit hitam untuk berkembang dalam politik. Keterbukaan Demokrat yang memberi laluan kepada Obama dilihat menepati gagasan reformasi sosial supaya negara kuasa besar itu tidak dipisah-pisahkan oleh sentimen perkauman. Obama tidak mungkin mencapai ke tahap sekarang sekiranya tiada Demokrat. Sementara pilihan raya Presiden kali ini memberi cabaran kepada Republikan yang kelihatan menggunakan isu-isu perkauman sejak dulu lagi.
Maka tidak hairanlah kalau ada yang teringat kembali bagaimana tokoh kulit hitam seperti Martin Luther King Jr yang dibunuh pada 1968. Kecenderungan menyekat kemaraan kulit hitam sebenarnya belum reda selepas pembunuhan King dan juga tokoh Islam kulit hitam, Malcom X pada 1965. Kedua-dua tragedi penting ini ditoleh kembali apabila Obama, seorang lagi tokoh kulit hitam melonjak dengan pantasnya di persada politik AS. Kebimbangan terhadap nyawa Obama kini menjadi satu isu penting terutama kalangan African American yang berada di AS.
Pembunuhan King adalah jenayah terancang seperti juga yang berlaku ke atas Malcom X kerana beliau seorang Islam. Biarpun tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab, tetapi banyak pihak percaya konspirasi pembunuhan ini adalah terancang dan besar kemungkinan dalam pengetahuan pemimpin tertinggi AS.
Obama juga pernah menjadi mangsa kecaman apabila sebuah laman web menyiarkan gambar dia berpakaian tradisi Kenya berserta serban yang menjadi lambang seorang penganut Islam. Gambar yang diambil semasa lawatan Obama ke Kenya dua tahun lalu menjadi salah satu senjata untuk menakutkan rakyat terhadap hubungan Obama dengan Islam. Ini membuktikan Islamofobia menjadi salah satu faktor penting yang akan menyekat kemaraan Obama selepas ini. Bagaimana pun dalam masa dua hari ini, sekiranya Republikan menyemarakkan isu Islamaphobia, kesannya mungkin tidak terlalu besar kepada Obama.
Pada pilihan raya Presiden antara Bush dan Al Gore dulu, ada sesetengah kalangan kita di negara ini menyokong Bush. Saya tidak pasti alasan mereka menyokong Bush dan menentang Al Gore yang akhirnya Bush menang tipis. Tetapi kali ini saya menyokong Obama dan berharap dia memenangi pilihan raya Presiden kali ini. Ciri-ciri pemimpin yang karismatik ada kepada Obama selain memberikan pilihan supaya dunia tidak terus di bawah legasi buruk Bush menerusi McCain.
Pilihan raya Presiden AS bukanlah melibatkan hal ehwal dalam negara itu saja. Sebagai negara kuasa besar, siapa yang menduduki tampuk kuasa akan memberikan kesan kepada dunia seluruhnya. Dasar luar pemimpin yang menduduki kerusi tertinggi itu akan memberikan kesan kepada hubungan diplomatik dan politik antarabangsa. Kerana itu Obama mesti menang.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home