Tuesday, November 4, 2008

Kedutaan AS, Australia terima ancaman bom

JAKARTA 4 Nov. - Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Australia di Indonesia menerima ancaman bom hari ini walaupun kawalan ketat telah diadakan menjelang pelaksanaan hukuman mati ke atas tiga orang pengebom Bali.

Jurucakap kedutaan AS mengesahkan mengenai ancaman bom yang diterima itu dan menganggapnya sebagai suatu yang serius dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.

Bagaimanapun, operasi mencari bom gagal menemui apa-apa, walaupun seluruh kawasan kedutaan yang dikawal ketat itu habis digeledah.

"Kami sedang menyiasat perkara ini dan akan mencari individu yang bertanggungjawab menghantar ancaman melalui khidmat pesanan ringkas kepada polis," kata jurucakap polis kebangsaan, Abubakar Nataprawira.

Menurut laman web berita Detikcom, mesej teks itu berbunyi, "Saya akan meletupkan bom sekiranya Amrozi dan sahabatnya dihukum bunuh."

Kawalan keselamatan di kedutaan AS dan Australia telah dipertingkatkan berikutan kebimbangan berlakunya sebarang bentuk serangan berunsur dendam berikutan hukuman mati tersebut.

Amrozi, 47, Mukhlas, 48, dan Imam Samudra, 38, berdepan dengan hukuman ditembak sampai mati pada bila-bila masa kerana didapati bersalah melancarkan serangan bom ke atas kelab malam di Bali yang meragut 202 nyawa enam tahun lalu. - AFP

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home