Saturday, November 1, 2008

Penduduk Afghan mahu Obama menang

KABUL 1 Nov. - Rakyat Afghanistan menyuarakan sokongan kepada Barack Obama untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) dan berharap beliau menyelamatkan mereka daripada serangan pengganas yang telah menghancurkan negara ini.

Mereka turut berharap, kemenangan Obama akan membolehkan mereka menikmati masa depan yang lebih baik.

"Kami menyukai Obama kerana dalam ucapannya, beliau memberitahu akan menentang musuh kami, Taliban di Pakistan," kata seorang pengurup wang, Emal.

Menurutnya, dia kurang mengenali McCain dan juga dasar-dasar yang hendak dilaksanakan oleh calon Republikan itu.

Bagi sesetengah rakyat Afghan, McCain sama seperti Presiden George W. Bush.

"Beliau tidak lebih seperti Bush yang lama. Pada saya, dasar Bush di Afghanistan sekarang gagal," kata seorang pemilik syarikat pembinaan, Masihullah Amin, 32.

Sebaliknya, kata lelaki itu, Obama mewakili generasi muda dan pemikiran beliau juga lebih segar.

Bagi Sultan Ahmad Sultani pula, Obama perlu memberi tumpuan kepada isu di Afghanistan yang berdepan dengan ancaman pejuang Taliban.

Penduduk Helmand, Abdul Wakil berkata, masalah yang dihadapi oleh Afghan sebenarnya berpunca daripada kelemahan kerajaan Presiden Hamid Karzai.

"Semua masalah termasuk isu Taliban disebabkan kelemahan kerajaan.

"Pemimpin AS yang kuat akan menyokong pemimpin Afghanistan yang kuat juga. Orang yang mampu melakukan itu ialah Obama," katanya.

- AFP

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home