Saturday, November 1, 2008

Schwarzenegger cemuh Obama

COLUMBUS , Ohio 1 Nov. - Senator Arnold Schwarzenegger yang juga bekas Mr. Universe semalam meminta calon presiden daripada Parti Demokrat, Barack Obama memperkuatkan bukan sahaja dasar-dasar beliau, tetapi juga fizikalnya.

Senator California daripada Republikan itu mencemuh dasar-dasar Obama dan saiz fizikalnya yang tinggi kurus ketika berkempen bagi Senator John McCain, di hadapan beribu-ribu penduduk di sini.

Katanya, beliau akan menganjurkan pertandingan bina badan Arnold Classic pada setiap 1 Mac dan menjemput Obama menyertainya.

"Saya ingin menjemput Senator Obama kerana beliau perlu melakukan sesuatu ke atas kakinya yang kurus itu. Saya akan meminta beliau melakukan latihan mencangkung.

"Kami akan mengajarnya senaman membina otot bahu dan menguatkan ideanya.

"McCain mempunyai fizikal lebih sasa seperti seketul batu. Peribadi dan pandangan beliau juga teguh," katanya.

McCain dan Schwarzenegger berkempen di Stadium Arena Hoki Kebangsaan di sini dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan calon Republikan ke White House itu menjelang hari-hari terakhir kempen.

Schwarzenegger menyifatkan McCain, bekas tahanan Perang Vietnam dan juruterbang tentera udara itu sebagai wira sebenar Amerika.

"McCain telah teruji dan tidak ada calon presiden lain dalam sejarah negara ini melalui apa yang dilaluinya.

"Beliau telah menghabiskan masa lima tahun setengah sebagai tahanan perang. Beliau telah diuji dengan penderaan, tekanan dan pengasingan.

"McCain berbakti kepada negara apabila ditahan di kem tahanan perang lebih lama berbanding perkhidmatan lawannya itu di dalam Senat," katanya.

Schwarzenegger merujuk kepada perkhidmatan Obama yang belum pun menghabiskan penggal pertamanya sebagai Senator itu.

- AFP

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home