Tuesday, November 4, 2008

Pentagon bersedia walau siapa sahaja Presiden AS

WASHINGTON 27 Okt. - Pentagon telah bersiap sedia sejak beberapa bulan lalu untuk menghadapi pertukaran Presiden Amerika Syarikat (AS) pada waktu perang sejak 40 tahun lalu.

Jika dilihat pada sejarah AS, waktu perang seperti ini akan mendedahkan negara ini kepada bahaya dan peluang ini akan dieksploitasi oleh musuhnya.

"Kami akan berada dalam keadaan bersedia pada bila-bila masa kerana sejarah menunjukkan musuh akan cuba mengambil kesempatan pada waktu sekitar pilihan raya baik sebelum atau selepas," kata Setiausaha Akhbar Pentagon, Geoff Morrell kepada pemberita.

Selepas pilihan raya Presiden pada 4 November ini, 'baton' akan diserahkan kepada pentadbiran baru dalam proses peralihan canggung yang berterusan selama berbulan-bulan selepas Presiden baru mengangkat sumpah pada 20 Januari depan.

Contoh insiden besar yang berlaku sebelum dan selepas pilihan raya ialah Perang Bay of Pigs tiga bulan selepas John Kennedy menduduki White House yang membawa kepada konfrontasi dengan Havana yang kemudian bertukar menjadi krisis peluru berpandu.

Kejatuhan Saigon pula berlaku lapan bulan selepas Gerald Ford menjawat kedudukan Presiden manakala Ronald Reagan ditembak dalam cubaan bunuh selepas beberapa minggu menjadi Presiden.

Sebulan selepas Bill Clinton mengangkat sumpah, berlaku serangan bom di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York dan selepas lapan bulan George W. Bush menjadi Presiden, WTC dirempuh pesawat dan begitu juga Pentagon.

Sekarang AS sedang terlibat dalam perang di Iraq dan Afghanistan dan keperluan untuk bersiap sedia mungkin lebih kritikal berbanding masa lalu.

- AFP

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home